Thursday, April 17, 2014

KELAPA MAWA



Kelapa MAWA ialah kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang kelapa Rendah Malaya dan Kelapa Tinggi Afrika Barat. Ketinggian pokok boleh mencapai sehingga 15 meter. Warna daun, bunga dan buahnya sama ada hijau atau jingga pucat bergantung kepada pokok induk (Pokok Kelapa Rendah Malaya). Bilangan buah setandan ialah 14-16 biji.


Kelapa Mawa dan mengapa tidak boleh dijadikan benih
Pokok Kelapa


KELAPA RENDAH MALAYA

Kelapa Rendah Malaya berasal dari Malaysia. Terdapat tiga jenis Kelapa Rendah Malaya iaitu kuning, merah dan hijau berdasarkan warna buahnya. Kelapa Rendah Malaya merupakan pokok kelapa yang bersaiz kecil dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga enam meter. Saiz buahnya kecil manakala bilangan buah setandan boleh mencapai sehingga 15 biji atau lebih. Pada masa ini pokok Kelapa Rendah Malaya tidak ditanam secara komersil dan hanya digunakan sebagai pokok hiasan dan pokok induk dalam pengeluaran benih hibrid kelapa seperti MAWA dan MATAG.


KELAPA WANGI (KELAPA PANDAN)

Kelapa Wangi ialah kelapa jenis rendah yang diperkenalkan dari Thailand pada tahun 1971. Di Thailand kelapa ini dipanggil sebagai 'Makprow Nam Horm' dan di peringkat antarabangsa dikenali sebagai 'aromatic dwarf'. Keistimewaan kultivar kelapa wangi ialah isi dan buahnya berbau wangi pandan dan sesuai untuk diminum dan dimakan segar. Ketinggian pokok boleh mencapai 6 meter. Tandan dan buah berwarna hijau dan buahnya kecil berbentuk bulat berbiku tiga.

Penanaman kelapa ini boleh dijalankan secara kepadatan tinggi dengan jarak tanaman 6 m x 6 m. Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur 3-4 tahun selepas ditanam di ladang. Ketika berumur 3 tahun pengeluarannnya hanya 40-50% dan mencapai 100% apabila berumur 4 tahun. Pokok kelapa wangi mengeluarkan 12-18 jambak bunga setahun. Purata bilangan buah setandan di antara 10-15 biji tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika kawasan dibanjiri air. Setahun (tahun ke 13) ia boleh mengeluarkan 130-175 biji buah kelapa muda sepokok. Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran boleh mencapai 36,000-49,000 buah kelapa muda setahun. Kandungan air bagi sebiji ialah lebih kurang 330 ml. Anak kelapa pokok wangi boleh dikenali melalui bau pandan pada hujung akar yang dihancurkan.

Melihat tandan buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur 6-6 1/2 bulan selepas persenyawaan. Kaedah yang digunakan ialah dengan melihat tandan buah serta saiz buah kecil (T-2) dan pembentukan seludang (T-3) di atas tandan buah kecil tersebut. Tandan kelapa muda yang dipetik (T-1), tandan buah kelapa kecil (T-2) dan seludang (T-3) adalah selari atau terletak di atas satu sama lain.

Peringkat yang sesuai untuk kelapa botak
Di peringkat ini seludang (T-3) terbentuk penuh (70-90 cm) panjang tetapi belum memecah. Di bawah seludang ini terdapat tandan buah kecil (T-2) di mana saiz lilitan adalah diantara 18-24 cm atau sebesar bola tenis. Dengan ini tandan yang sebaris di bawah iaitu T-1 boleh dipetik untuk menghasilkan kelapa botak.

Peringkat yang sesuai untuk kelapa telur
Di peringkat ini seludang (t-3) telah pecah dan mengeluarkan mayangnya sebaris di bawah T-3 terdapat tandan buah kecil (T-2) di mana saiz lilitan adalah besar sedikit iaitu antara 22-26 cm, dengan ini tandan yang sebaris di bawah (T-2) iaitu (T-1) adalah tandan yang sesuai untuk menghasilkan kelapa telur.

*Benih kelapa ini boleh didapati daripada Pusat Pembangunan Komiditi, Teluk Bharu, Perak.

Kaedah penentuan peringkat kematangan







Petua Memilih Kelapa Pandan
(sumber: Wawasan Pertanian Bil. 10 Vol.1 Jilid 11)

Sekiranya anda ingin membeli anak benih kelapa pandan dan tidak yakin sama ada benih yang dijual itu benih kelapa pandan atau tidak, ada satu petua yang boleh anda lakukan. Patahkan sedikit bahagian hujung akar muda daripada anak pokok yang hendak dibeli. Gentil bahagian akar yang dipatahkan tadi dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sehingga hancur dan hidu baunya. Sekiranya benih itu benar benih kelapa pandan anda pasti dapat menghidu bau harum daun pandan. Selain bahagian akar, bahagian daun anak pokok benih kelapa pandan juga boleh dilakukan perkara yang sama tetapi biasanya pengusaha tapak semaian tidak membenarkan kerana akan mencacatkan anak benih. Bau harum pandan lebih kuat di bahagian daun berbanding bahagian akar.(sumber: Wawasan Pertanian Bil. 10 Vol.1 Jilid 11)



Kelapa Wangi tanaman berpotensi
Suntingan Berita: 'Coconut King' takluk pasaran


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home